Tahun Kreativiti dan Inovasi
Dec 23, 2009 in Innovation
Sungguh pantas kita kini telah pun menghampiri akhir dekad ini dan permulaan satu dekad yang baharu. Sejak 2000 lagi, kita telah melihat kemunculan produk yang amat inovatif seperti iPhone, Blackberry, Twitter, Facebook, dan You Tube. Kita juga telah menyaksikan kebangkitan Google yang tiada noktahnya, menukar cara kita menggunakan media dan berkomunikasi antara satu dengan lain. Dekad yang datang ini ternyata tidak kurang menariknya.
Negara-negara yang menyenangi inovasi, seperti Jepun, Finland dan Amerika Syarikat, hasilnya berjaya membangunkan ekonomi yang lebih maju. Inovasi mewujudkan pekerjaan dan menggalakkan daya saing negara, Oleh sebab itulah, kita juga mesti menghasilkan impak yang kreatif dalam ekonomi global yang berdaya saing. Janganlah kita membiarkan diri kita ketinggalan di belakang.
Ketika membentangkan Belanjawan 2010 baru-baru ini, saya telah menyatakan satu model ekonomi baharu, berasaskan inovasi, kreativiti dan aktiviti tambah nilai, akan menggandakan lebih daripada pendapatan per kapita rakyat dalam tempoh 10 tahun yang akan datang.
Menyokong perkara ini ialah konsep 1Malaysia, atau keperluan untuk memanfaatkan kebolehan daya kreatif semua rakyat Malaysia. Sebagaimana baru-baru ini seorang pakar antarabangsa telah mengiktiraf, "1Malaysia sangat serasi dengan inovasi. Bakat bukan hanya didapati dalam sesuatu budaya, tetapi ianya tersebar di merata-rata."
Tahun baru, 2010, akan menjadi Tahun Kreativiti dan Inovasi. Pada suku tahun pertama, kita akan melancarkan Pusat Inovasi Negara (MyNIC) yang akan disokong oleh satu rangkaian pusat kecemerlangan inovasi. Tujuan MyNIC mudah sahaja: untuk memajukan keupayaan saintifik dan teknologi kita.
Langkah-langkah seperti Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang kita tetapkan baru-baru ini sementara itu akan memupuk budaya inovasi di dalam sektor awam.
Dengan ketibaan Rangkaian Inovasi 4G pada penghujung 2010, yang membawa jalur lebar laju tinggi ke seluruh pelosok tanah air, akan wujud lebih banyak peluang untuk membuat inovasi. Malahan, Bank Dunia telah menyatakan bahawa peningkatan 10% dalam penembusan jalur lebar ada hubung kait dengan peningkatan KDNK sebanyak 1.3%.
Petikan ini diambil dari Blog PM