Tuesday, August 31, 2010

Ujian ALLAH Ke Atas Hambanya

Pada hari Isnin 30 Ogos 2010 pukul 7 malam, seorang lagi pelajar NOR AIDA HIDAYAH dari Jabatan Perdagangan Politeknik Kota Bharu pulang ke rahmatullah disebabkan sakit yang dideritai semenjak tahun 2007. Syukur Alhamdullillah pada hari Rabu 1 September 2010 ramai di antara kami yang berkesempatan berkunjung ke rumah arwah menemui keluarga beliau. Semasa kunjungan tersebut, ibu beliau menceritakan serba sedikit penderitaan, semangat dan pengorbanan arwah bermula 2007 hingga 2010, arwah telah melakukan beberapa kali pembedahan dan banyak komplikasi yang perlu dihadapi. Walaupun menderita sakit, arwah seorang pelajar yang tekun dan berjaya mengekalkan prestasi akademik yang baik. Dalam kepayahan melawan sakit arwah masih berusaha menyiapkan laporan latihan industri sebelum meninggalkan dunia yang fana ini. Mendengar kehibaan suara hati seorang ibu mengenai kegigihan anaknya melawan sakit dan kesungguhan yang tinggi dalam mengejar ilmu ... sepatutnya memberi sejuta keinsafan kepada yang lain ... yang masih berkesempatan menghirup udara dengan bebasnya. Betapa Kuatnya semangat arwah, walaupun terpaksa dipapah oleh kedua ibubapanya tapi arwah tetap gagahi jua ke Polteknik Kota Bharu untuk memohon penangguhan pengajian. Dalam hati turut merasai kesedihan yang dihadapi oleh keluarga arwah dan mengkagumi kekuatan jati diri arwah serta memohon agar ALLAH memberi ganjaran berlipatganda atas kesabaran arwah. Sesungguhnya ALLAH memuji orang-orang yang sabar dan menyanjung mereka dengan firmanNya yang bermaksud .....
"dan, orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan, mereka itulah orang-orang yang benar (imannya) dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa." (AlBaqarah : 177) ... "dan ALLAH mencintai orang-orang yang sabar."(Ali Imran:146)Bahawa ALLAH memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan balasan yang lebih baik daripada amalnya dan melipatgandakannya tanpa terhitung seperti mana firmanNya dalam surah An-Nahl:96 yang bermaksud ... "dan sesungguhnya kami memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik daripada yang telah mereka kerjakan.

Walaupun, arwah tidak sempat saya kenali tetapi menghormati perjuangan serta semangat beliau dan boleh dijadikan iktibar dalam mengharungi kehidupan ini.
Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mempersembahkan DUA rangkap pantun yang digubah secara spontan ...

Penderitaan arwah menjadi perhatian,
Hilang sudah gelak ketawa,
Mengingatkan diri pada kematian,
Suntikan keinsafan meresap ke jiwa,

Keriangan menyambut raya sudah terasa,
Lauk pauk, kuih dan biskut raya menjadi perbualan,
Sehingga terlupa ada yang terseksa,
Kepada yang Maha Esa mohon keampunan